GEORGE TOWN: Bekalan air kepada kira-kira 70 peratus daripada 120,000 pengguna terjejas di Pulau Pinang berjaya dipulihkan pada pukul 2 petang tadi dengan pemasangan pengapit kepingan keluli kecemasan untuk memperbaiki saluran paip 1,350 mm di dasar Sungai Perai.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pemulihan bekalan air untuk baki 30 peratus daripada pengguna terjejas termasuk mereka yang berada di hujung saliran air itu dan tempat tinggi akan dilakukan secara berperingkat lewat hari ini.

Beliau berkata sejumlah 14 lori tangki Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) and Majlis Bandaraya Pulau Pinang bertungkus-lumus menghantar air kepada pengguna terjejas sejak Rabu.

"Sejak 10.30 pagi tadi, sekumpulan 15 lori tangki tambahan dari luar kawasan iaitu Air Kelantan, (Pengurusan) Air Selangor, Lembaga Air Perak, Pengurusan Air Pahang, Syarikat Air Johor, Syarikat Air Melaka, and Syarikat Air Terengganu digerakkan untuk menghantar air kepada pengguna.

Dalam usaha mencapai 100 peratus pemulihan perkhidmatan bekalan air dengan secepat mungkin, pasukan PBAPP juga memantau rapi perkembangan seksyen saluran paip yang diperbaiki itu bagi memastikan ia tidak akan pecah lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata menurut PBAPP penyelesaian jangka panjang yang rasional untuk mengelakkan insiden Sungai Perai daripada berulang lagi ialah dengan menggantikan saluran paip itu.

Justeru, PBAPP bercadang untuk melaksanakan projek bernilai RM5 juta bagi memasang paip baharu pada seksyen sepanjang 200 meter yang akan dipasang mengikut struktur yang merentas sungai.

"Ini bermakna saluran paip baharu itu akan lebih mudah diselenggara pada masa hadapan kerana ia disokong oleh sebuah struktur di atas Sungai Perai. Ia akan mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.

Perkara yang memerlukan tindakan segera ini akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd (PBAHB) untuk kelulusan kerana ini melibatkan saluran paip utama yang menyalurkan air setiap hari dari Loji Rawatan Air Sungai Dua kepada lebih daripada 100,000 pengguna air di bahagian pulau," katanya.

--BERNAMA